KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Republik Turkiye, Dr. Hakan Fidan dalam satu pertemuan yang menekankan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar memaklumkan bahawa pertemuan itu membuka ruang baharu untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang kepentingan bersama antara kedua-dua negara.
“Kami menyentuh mengenai pelaksanaan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi serta Mesyuarat Jawatankuasa Bersama peringkat menteri luar sebagai platform penting menyelesaikan isu-isu tertangguh,” jelas beliau.
Anwar turut menyatakan bahawa Turkiye kini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat, dan kedua-dua negara komited untuk melonjakkan hubungan ke tahap lebih strategik, terutama dalam pelaburan sektor-sektor utama.
“Malaysia dan Turkiye ingin terus menggalakkan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan serta aeroangkasa,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, Malaysia turut merakamkan penghargaan atas penyertaan Turkiye dalam industri pertahanan negara termasuk penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang akan datang.
“Kita menjangkakan pemeteraian memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan, termasuk memperkemas perolehan perkakas serta kelengkapan pertahanan antara kerajaan,” ujar beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa hubungan Malaysia-Turkiye bukan sekadar hubungan diplomatik semata-mata, tetapi turut mencerminkan kepentingan strategik dan nilai bersama demi kestabilan rantau dan kesejahteraan sejagat.

