TOKYO – Pasangan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengalami kejutan besar apabila tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 selepas tewas kepada beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.
Gandingan nombor dua dunia itu tewas dalam straight set 15-21, 15-21 dalam masa hanya 30 minit, sekali gus mengejutkan peminat badminton tanah air.
Sebaliknya, Yew Sin-Ee Yi yang berada di ranking ke-30 dunia kini mara ke pusingan kedua dan akan berdepan pemenang antara pasangan tuan rumah Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura atau wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith pada Khamis.
Dalam saingan beregu wanita pula, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan masalah apabila menewaskan pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela-Stefani Stoeva dengan kemenangan 21-16, 21-14 dalam masa 31 minit.
Gandingan nombor tiga dunia itu bakal bertemu pemenang antara Hsieh Pei Shan-Hung En-T dari Taiwan atau pasangan AS, Francesca Corbett-Jennie Gai dalam pusingan 16 terbaik.
Turut mara ke pusingan kedua ialah Man Wei Chong-Tai Kai Wun selepas mengatasi rakan sepelatih dari Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wan Arif Junaidi-Yap Roy King.
Mereka menang set pertama yang sengit dengan mata maksimum 30-28, sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-12 pada set kedua dalam tempoh 42 minit.

