Chikungunya ancam dunia, WHO desak tindakan segera

GENEVA — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa wabak virus chikungunya kini berisiko tinggi merebak ke seluruh dunia dan menyeru tindakan segera diambil bagi menghalang penularan besar-besaran.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Geneva, WHO menyatakan bahawa tanda-tanda awal penularan yang kini dikesan menyerupai corak yang berlaku semasa wabak besar pada tahun 2004 hingga 2005, yang bermula di kawasan Lautan Hindi sebelum merebak secara meluas.

Chikungunya ialah penyakit virus bawaan nyamuk yang boleh menyebabkan demam panas serta sakit sendi yang teruk, dan dalam kes tertentu boleh mengakibatkan kematian.

“Chikungunya bukanlah penyakit yang dikenali ramai, namun ia telah dikesan di 119 negara di seluruh dunia, menjadikan kira-kira 5.6 bilion penduduk berada dalam keadaan berisiko,” kata pakar teknikal WHO, Diana Rojas Alvarez.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak awal tahun ini, peningkatan kes telah dilaporkan di beberapa pulau di Lautan Hindi termasuk Reunion, Mayotte dan Mauritius. Di Pulau Reunion sahaja, dianggarkan satu pertiga daripada penduduk telah dijangkiti virus berkenaan.

Penyakit chikungunya berkongsi gejala yang hampir sama dengan demam denggi dan virus Zika, menjadikannya sukar untuk didiagnosis dengan tepat. Penyebaran kini turut dikesan di beberapa negara di Afrika Timur seperti Madagascar, Somalia dan Kenya.

“Penularan wabak juga telah dikesan di Asia Selatan. Di Eropah pula, terdapat laporan kes import yang berkaitan dengan wabak di Lautan Hindi, manakala kes jangkitan tempatan turut dilaporkan di Perancis dan kes disyaki dikesan di Itali,” tambah Rojas.

WHO memberi amaran bahawa meskipun kadar kematian akibat chikungunya adalah kurang daripada satu peratus, jumlah kematian boleh mencecah ribuan jika jumlah jangkitan mencapai jutaan.

BACA JUGA:  Ustaz Kazim Elias belum boleh terima pelawat, keluarga minta orang ramai terus titip doa

“Kami memberi amaran awal ini agar semua negara dapat bersedia dari sekarang – memperkukuh pemantauan, kawalan vektor dan kapasiti kesihatan awam – sebelum wabak melanda secara besar-besaran,” ujar beliau lagi.

Virus chikungunya disebarkan melalui gigitan nyamuk betina yang dijangkiti, terutamanya daripada spesies Aedes aegypti dan Aedes albopictus (nyamuk harimau). Spesies ini kini menunjukkan pola penyebaran lebih luas ke kawasan utara disebabkan perubahan iklim.

Nyamuk ini aktif pada waktu siang, dengan puncak aktiviti biasanya pada awal pagi dan lewat petang.

WHO menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan ubat nyamuk, memakai pakaian pelindung, serta memastikan tiada air bertakung di sekeliling rumah yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Dengan mengambil tindakan awal, WHO berharap dunia dapat mengelakkan satu lagi krisis kesihatan global.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...