KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya utama bagi membolehkan rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang peningkatan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung hari ini.
Menurut Anwar, keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar.
“Kerajaan akan menanggung kos pampasan melebihi RM500 juta kepada syarikat konsesi bagi memastikan kadar tol tidak dinaikkan,” katanya.
Antara lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE), Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuh Raya KL-Putrajaya (MEX).
Tambah beliau, penangguhan kenaikan kadar tol ini adalah antara langkah segera kerajaan bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada beban kos tambahan dalam perbelanjaan harian.

