Jumaat | 14 November 2025
spot_img

Aiskrim rasa nostalgia, Inside Scoop kembali dengan ‘Lokal Legends’ Merdeka ke-68

KUALA LUMPUR – Jenama aiskrim tempatan, Inside Scoop, kembali memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelancaran koleksi ‘Lokal Legends’ edisi kedua yang menampilkan enam perisa baharu berinspirasikan jenama ikonik Malaysia.

Enam jenama yang terlibat dalam kolaborasi kali ini ialah Gardenia, Julie’s, Golden Screen Cinemas (GSC), Beryl’s, ZUS Coffee dan Farm Fresh.

Antara perisa yang diperkenalkan ialah Twiggies Choc-A-Lot (Gardenia), Caramel Popcorn (GSC), Le-mond Lemon (Julie’s), Gula Melaka Chocolate (Beryl’s), Spanish Latté (ZUS Coffee) dan Choco Malt Kaw (Farm Fresh).

Menurut Pengasas Bersama Inside Scoop, Edmund Tan, kerjasama tersebut membawa makna istimewa kerana ia mengangkat nostalgia rakyat Malaysia.

“Setiap perisa Lokal Legends tahun ini bagaikan helaian kenangan yang digubah semula dalam bentuk aiskrim. Kami mahu menghadirkan sesuatu yang bukan sahaja enak, tetapi juga membangkitkan rasa kebersamaan sebagai anak Malaysia,” katanya.

Dilancarkan buat kali kedua selepas kejayaan koleksi tahun lalu, ‘Lokal Legends’ menjadi platform Inside Scoop untuk meraikan identiti serta kreativiti tempatan.

Sejak penubuhannya pada 2013 di Bangsar, Inside Scoop telah menghasilkan lebih 200 variasi perisa dengan lebih 60 cawangan beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, setiap hidangan single scoop daripada koleksi ini akan disertakan dengan sarung cawan edisi khas.

Selain itu, pelanggan turut berpeluang mendapatkan pakej istimewa “Lokal Legends Party Pack” berharga RM68 yang menghimpunkan semua perisa terbaharu.

Koleksi edisi terhad ini boleh didapati di semua cawangan Inside Scoop di seluruh negara bermula 18 Ogos hingga 21 September 2025.

Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan