TANJUNG MALIM – Detik cemas menimpa lima pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang apabila mereka terperangkap kira-kira sejam di tengah sungai selepas dihanyutkan kepala air di Kampung Sungai Dara, di sini pada Khamis.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.54 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dengan bantuan BBP Slim River bergegas ke lokasi.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika kelima-lima lelaki berusia 21 tahun itu sedang bermandi-manda sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras.
Mereka kemudian berpaut pada batu besar di tengah sungai bagi menyelamatkan diri.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kesemua mangsa berada di atas batu di tengah sungai selepas terperangkap akibat kepala air berpunca daripada hujan lebat.
“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan teknik menyeberang sungai dengan bantuan jaket keselamatan, tali dan beg lontar (throw bag) sebelum mangsa dibawa keluar secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat kira-kira jam 8.25 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.35 malam dengan kekuatan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda.

