Jumaat | 14 November 2025
spot_img

Lebih 300 nak jadi model Sota Store, festival fesyen dan konsert dijangka gempak September ini

PUTRAJAYA – Uji bakat anjuran Sota Store selama dua hari di Park Inn Hotel di sini hujung pada Ahad menerima sambutan luar biasa apabila lebih 300 peserta hadir, melebihi sasaran awal antara 100 hingga 200 orang sahaja.

Menurut Pengasas Sota Store MY, Iffazrin Afiq, sambutan pada hari kedua yang juga hari terakhir mencatat jumlah kehadiran paling ramai dengan peserta hadir dari pelbagai negeri termasuk Johor, Melaka, malah ada juga daripada kalangan pelajar antarabangsa.

“Kita sangat teruja kerana bukan sahaja peserta dari Kuala Lumpur dan Selangor yang hadir, tetapi juga dari negeri lain. Ada yang sanggup menaiki bas dari Johor semata-mata untuk mencuba nasib. Malah, kita juga menerima penyertaan daripada pelajar antarabangsa. Itu menunjukkan bakat-bakat muda ini benar-benar mahu rebut peluang,” katanya ketika ditemui MYBERITA di sini, pada Ahad.

Tambah Iffazrin, uji bakat kali ini memberi ruang kepada peserta menunjukkan kebolehan masing-masing bukan sahaja dalam bidang peragaan, tetapi juga bakat lain seperti lakonan.

“Ramai yang multi-talented. Dari pihak kami, memang berpuas hati dengan penyertaan Sabtu dan Ahad ini. Walaupun slot agak terhad, mereka yang tidak terpilih bukan bermakna ditolak terus. Nama mereka tetap disimpan untuk dipertimbangkan dalam acara atau kempen lain,” jelasnya.

Acara uji bakat ini merupakan persediaan awal untuk Sota Store Fashion Show & Concert Festival yang bakal berlangsung hujung September ini di Serdang, Selangor. Festival ini dijangka menampilkan lebih 70 koleksi fesyen daripada jenama tempatan serta jenama besar yang turut berkolaborasi dengan Sota Store.

Lebih menarik, festival tersebut akan berlangsung secara terbuka tanpa tiket masuk, bermula dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam, menampilkan empat artis jemputan, persembahan DJ, kru tarian serta pertunjukan penutup bunga api.

“Kami mahu buat acara ini dengan gaya seperti Victoria’s Secret Fashion Show. Semua orang boleh datang dan nikmati gabungan fesyen serta konsert. Akan ada penampilan istimewa daripada sebuah band terkenal yang namanya cukup familiar, tapi buat masa ini kita rahsiakan dahulu,” kata Iffazrin.

Beliau menambah, promosi rasmi festival akan dilancarkan dua minggu sebelum acara berlangsung.

“Kami harap orang ramai akan datang beramai-ramai untuk merasai pengalaman terbaik yang kami sediakan tahun ini,” ujarnya.

Syed Izzul Adib
Syed Izzul Adib
adib@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan