KOTA KINABALU – Pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Jessie Hiu memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, berkemungkinan besar sama ada melompat dari tepi penghadang konkrit atau menghayunkan badan (swing over) sebelum ditemui maut pada 16 Julai lalu.
Penjelasan Dr. Jessie Hiu itu dibuat ketika menjawab soalan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Jabatan Peguam Negara, Datuk Badius Zaman Ahmad dalam prosiding inkues hari kedua.
“Berdasarkan maklumat posisi dan lokasi si mati, kemungkinan sama ada dia melompat atau menghayunkan diri,” kata Dr. Hiu di mahkamah.
Bagi menyokong keterangan, Dr. Hiu turut membuat demonstrasi menggunakan pegawai perubatan Jabatan Forensik HQE, Dr. Lau Cheng, yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan arwah. Beliau turut mengemukakan lebih 30 keping gambar lokasi kejadian serta lakonan semula insiden.
Menurut Dr. Hiu, perbezaan ketinggian dua sentimeter antara Zara Qairina (154cm) dan Dr. Cheng (152cm) tidak menjejaskan demonstrasi kerana Dr. Cheng masih mampu memanjat ke luar penghadang konkrit dan berdiri di tebing dengan berpaut pada palang besi.
Tambahnya, kecederaan teruk pada kaki kiri arwah menunjukkan bahagian itu menerima impak pertama ketika jatuh. Semalam, beliau menjelaskan lakonan semula menunjukkan mangsa mendarat dengan kaki kiri terlebih dahulu sebelum terjatuh ke belakang, mengakibatkan patah teruk pada tulang tumit kiri serta tulang tibia.
Dr. Hiu turut menolak kemungkinan Zara Qairina terjatuh secara tidak sengaja atau akibat ditolak.
“Melihat kepada ketinggian tembok penghadang dan tinggi si mati, adalah tidak mungkin arwah terjatuh tanpa sengaja atau akibat ditolak sama ada dari depan atau belakang kerana dihalang oleh tembok,” jelasnya.
Beliau juga menyangkal dakwaan tular kononnya Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum kematian.
“Semasa lawatan ke asrama, saya ada melihat mesin basuh domestik di tingkat bawah, tetapi tidak mungkin mesin itu mampu beroperasi dengan beban 53 kilogram, berat arwah ketika itu,” katanya.
Prosiding inkues akan bersambung pada sesi petang dengan keterangan saksi seterusnya.

