BUKIT MERTAJAM – Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai Ke-24 yang sepatutnya meraikan kejayaan pelajar hari ini turut diselubungi rasa hiba apabila Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengumumkan bantuan akan diberikan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) yang maut lemas di Kedah, Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, tragedi yang menimpa arwah turut dirasai seluruh warga politeknik dan pihaknya sudah menghubungi keluarga mangsa untuk menyampaikan simpati serta sokongan.
“Kami ingin keluarga arwah tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Selain bantuan kewangan, kami juga akan menyalurkan sokongan psikologi dan moral,” katanya ketika ditemui media selepas majlis konvokesyen tersebut.
Muhammad Amsyar ditemukan lemas selepas mesin padi dinaikinya bersama tiga rakan terhumban ke dalam sungai di Kampung Sanglang. Mayatnya dijumpai oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Sungai Petani semalam pada kedalaman empat meter, kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.

