Khamis, 11 Jun 2026

SPRM bekerjasama dengan Agensi UK, siasat aset Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan National Crime Agency (NCA) United Kingdom pada Disember tahun lalu bagi membantu siasatan membabitkan aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, keluarga serta sekutunya.

Menurut sumber, SPRM sebelum ini sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), unit di bawah NCA yang berpusat di London, berhubung kes berkenaan.

“SPRM kini sedang menunggu senarai rasmi aset daripada pihak berkuasa United Kingdom, yang turut membabitkan Kanada, Switzerland, Jepun dan United Kingdom sendiri.

“Selepas maklumat lengkap diperoleh, SPRM akan memulakan proses perundangan bagi tindakan sitaan serta pelucuthakan aset dikenal pasti, sebagaimana dilakukan dalam kes membabitkan Tun Daim Zainuddin sebelum ini,” katanya.

Sumber itu menegaskan, usaha mengesan dan memulangkan aset dipercayai diseleweng bukan perkara mudah kerana ia melibatkan instrumen perundangan antarabangsa selain kerjasama pelbagai pihak berkuasa luar negara.

“Namun siasatan akan diteruskan secara telus demi memastikan segala aset yang diperoleh secara haram dapat dipulangkan kepada negara,” katanya.

Difahamkan, siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sehubungan itu, SPRM turut memanggil dua anak Dr Mahathir untuk mengisytiharkan aset dimiliki mereka, termasuk di dalam dan luar negara, sebagai sebahagian daripada siasatan.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com