KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen mengenai pemilihan hospital berkenaan.
Segelintir pihak mempersoalkan mengapa personaliti itu memilih hospital kerajaan sedangkan beliau berkemampuan mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta.
Namun, isterinya, Datin Seri Shahida tampil menepis spekulasi dengan menjelaskan bahawa yang lebih penting adalah kesembuhan suaminya.
“Ya betul awak…kerajaan atau swasta, tujuan kami tetap satu. Kami ikhtiarkan kesembuhan untuk satu-satunya lelaki yang melindungi saya dan anak-anak saya,” katanya menerusi komen di TikTok hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan hospital tidak wajar dijadikan isu kerana pakar di HUKM sangat berpengalaman serta memberi perkhidmatan memuaskan.
Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial turut menjelaskan bahawa HUKM bukanlah hospital kerajaan sepenuhnya, sebaliknya berfungsi sebagai hospital pengajar serta pusat rujukan utama yang menghimpunkan pakar pelbagai bidang.
“Arwah mak saya tujuh tahun dirawat di sini sebelum meninggal… ratus ribu juga habis. Bukan percuma. Malah doktor swasta yang rujuk ke HUKM sebab di sini berkumpulnya doktor pakar,” kata seorang pengguna TikTok.
Tindakan keluarga Aliff Syukri itu turut menerima sokongan ramai yang berpendapat pilihan hospital adalah hak pesakit demi mendapatkan rawatan terbaik, tanpa mengira label kerajaan atau swasta.
“Jangan pertikai usaha doktor dan jururawat di hospital kerajaan. Kebanyakan kes yang rumit hanya mampu ditangani di hospital kerajaan,” kata seorang pengguna.
Sebelum ini, Shahida memaklumkan bahawa suaminya perlu menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan tulang akibat kemalangan tiga tahun lalu.

