BAITULMAQDIS – Israel dilaporkan sedang berusaha keras bagi menghalang undian yang dijangka berlangsung minggu depan untuk menyingkirkan negara itu daripada semua kejohanan bola sepak anjuran Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Media Israel mendakwa Qatar, antara penyumbang kewangan terbesar UEFA, menjadi pihak yang menekan badan induk bola sepak Eropah itu agar meneruskan undian tersebut.
Jika dilaksanakan, usul berkenaan hampir pasti mendapat sokongan majoriti kerana hanya dua atau tiga daripada 20 negara pengundi dijangka menentang langkah penyingkiran Israel.
Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) kini menggerakkan usaha diplomasi dan hubungan sukan bagi mendapatkan sokongan sekutu mereka.
“Kami sedang bekerja di semua peringkat bagi mengelakkan perkara ini berlaku,” kata seorang pegawai kanan IFA
Kerajaan Israel pula meletakkan harapan kepada negara sahabat seperti Jerman dan Hungary untuk memastikan undian tersebut tidak diteruskan.
Kempen tekanan oleh Qatar dipercayai tercetus selepas serangan udara Israel awal bulan ini yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha, namun gagal mengenai sasaran.
Buat masa ini, pasukan kebangsaan Israel sedang bersaing dalam kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 yang dikendalikan UEFA, manakala kelab Maccabi Tel Aviv dijadual bertemu PAOK FC dari Greece dalam saingan Liga Europa minggu ini.
Menurut Ketua Komunikasi IFA, Shlomi Barzel, penggantungan daripada kejohanan UEFA akan memberi impak besar kepada bola sepak negara itu.
“Ia ibarat pukulan maut kepada bola sepak Israel dan berkemungkinan diikuti dengan tindakan sama dalam sukan lain,” katanya.
Beliau turut menyifatkan masih adanya penyertaan Israel dalam kejohanan antarabangsa sebagai satu ‘keajaiban’, sambil memberi amaran bahawa satu lagi insiden serius di Gaza boleh menamatkan peluang mereka serta-merta.
Kemarahan global terhadap Israel susulan krisis kemanusiaan di Gaza kini merebak ke arena sukan dan budaya.
Banyak pihak menggesa negara itu dipinggirkan daripada acara antarabangsa, sepertimana Rusia yang digantung selepas menceroboh Ukraine pada 2022.
Terdahulu, beberapa kelab dan kumpulan penyokong bola sepak Eropah mengadakan protes menentang perlawanan dengan pasukan Israel.
Malah, pada perlawanan akhir Piala Super UEFA bulan lalu di Udine, Itali, kain rentang besar bertulis “Hentikan pembunuhan kanak-kanak — hentikan pembunuhan orang awam” dipaparkan, meskipun peraturan UEFA melarang mesej politik di stadium.

