PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa wajahnya terluka ketika menjalani rawatan akar gigi selepas doktor yang merawatnya dikatakan leka berbual dengan pembantu klinik.
Perkara itu didedahkan menerusi perkongsian di Threads, apabila pesakit terbabit pada mulanya hanya mengabaikan doktor yang sibuk berborak, sebelum peralatan perubatan terkena wajahnya sehingga meninggalkan luka.
“Berderau darah aku masa itu. Dia (doktor) minta pembantunya letakkan gel dan kata ‘kejadian ini luar kawalan saya’. Memang saya balas, ‘saya tak bergerak langsung dan saya guna muka ini untuk kerja’,” tulisnya.
Menurut wanita itu lagi, doktor berkenaan hanya menyarankan supaya kesan luka tersebut ditutup dengan alat solek.
“Doktor itu boleh kata ‘boleh tutup pakai makeup’. Aku malas nak kata apa. Selepas itu, klinik beri diskaun dan gel rawatan luka,” katanya.
Wanita itu juga menjelaskan dia membuat aduan kepada pihak pengurusan klinik, namun hanya diberi potongan harga untuk salah satu rawatan akhir, yang dianggap tidak setimpal dengan kecederaan dialami.
Kejadian itu mendapat perhatian ramai warganet di ruangan komen, dengan rata-rata menasihati mangsa supaya membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa atau mengambil tindakan undang-undang.
“Saman sampai awak rasa puas hati. Saya pernah pengasah tampalan terkena gusi sampai berdarah banyak, balik rumah baru nampak gusi terbelah.”
“Sama macam saya, terkoyak bibir sebab acuan nak buat penahan gigi (retainer). Tiga minggu tak boleh kunyah makanan sampai kena jumpa pakar sebab jangkitan kuman.”
“Boleh fail tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk maksimum RM50,000,” kongsi pengguna-pengguna di Tiktok pada ruangan komen.
Insiden ini sekali lagi menimbulkan persoalan tentang tahap profesionalisme sesetengah pengamal perubatan swasta dan hak pengguna dalam mendapatkan rawatan perubatan yang selamat serta berkualiti.

