KUALA LUMPUR – Hantaran Facebook Public Health Malaysia (PHM) mengenai kemudahan perubatan di Malaysia yang disertakan dengan ilustrasi kartun dua individu berurusan di kaunter ubat mencuit hati pengguna media sosial.
Lebih menarik, hantaran itu dikaitkan dengan kejadian tular di TikTok apabila seorang wanita berang selepas didakwa ‘menangkap basah’ suaminya bersama wanita lain di sebuah klinik kesihatan.
Video berkenaan bukan sahaja mencuri perhatian netizen, malah turut menjadi bahan bualan pempengaruh yang menunggu ‘episod seterusnya’.
Rata-rata warganet di ruangan komen menyifatkan admin PHM cekap membaca situasi semasa serta pantas mengaitkan isu kesihatan dengan kisah tular berkenaan.
“Laju betul min buat kerja ya. Apa pun, ubat-ubatan di hospital kerajaan kita ni bukan jenis ‘cikai-cikai’ tau. Ubat berkualiti tinggi dan dibeli dengan sangat mahal. Disebabkan subsidi, rakyat boleh dapat murah atau percuma. Tapi sayangnya ada yang buang begitu sahaja.”
“Peka sungguh keadaan semasa.”
“Terpaling pantas lah admin,” tulis pengguna-penguna Facebook pada ruangan komen.
Dalam pada itu, PHM dalam hantarannya menegaskan rakyat Malaysia beruntung kerana akses kepada klinik kesihatan, klinik swasta dan hospital kerajaan boleh didapati hampir di setiap lokasi.
“Ubat, rawatan asas, malah pemeriksaan kesihatan boleh diperoleh dengan kos rendah. Jangan kerana mudah dapat, kita ambil ringan soal kesihatan. Pemeriksaan berkala jangan ditangguh, gaya hidup sihat tetap tanggungjawab kita. Kemudahan sudah tersedia, tugas kita menjaga diri sebelum terlambat,” katanya.
Semalam, melaporkan insiden seorang wanita merakam sendiri perbuatan suaminya yang didakwa cuba memeluk bahu wanita lain selepas mengambil ubat di kaunter klinik kesihatan di Lembah Klang.
Rakaman berdurasi hampir dua minit itu mendapat perhatian ramai dan terus menjadi bahan gurauan serta perdebatan di media sosial.

