Suara Siswa UiTM kecam hipokrasi universiti kekalkan ‘curfew’, dakwa sekat kebebasan mahasiswa

SHAH ALAM – Suara Siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengecam keras tindakan pihak universiti yang terus mengekalkan peraturan curfew atau waktu perintah masuk malam, yang didakwa bukan sahaja lapuk, malah bercanggah dengan semangat kebebasan akademik.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan mahasiswa itu menyifatkan alasan keselamatan yang sering digunakan pihak universiti sebagai ‘hipokrasi berterusan’, memandangkan UiTM pada masa sama gagal menyediakan kemudahan kolej kediaman yang mencukupi bagi menampung pelajar.

“Ramai mahasiswa, khususnya mahasiswi, kini terpaksa menyewa di luar kampus tanpa sebarang peraturan curfew. Jika benar curfew menjamin keselamatan, mengapa semakin ramai pelajar dikehendaki tinggal di luar kampus?” soal kenyataan itu.

Suara Siswa turut menegaskan, percanggahan ini menzahirkan jurang kelas yang semakin ketara dalam kalangan mahasiswa UiTM, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Mahasiswa B40 kini paling terpinggir. Mereka terpaksa menanggung beban sewa dan kos pengangkutan, sedangkan universiti terus mendabik dada kononnya menjadi ‘pemangkin mobiliti sosial’,” tambah kenyataan itu.

Kumpulan itu turut mendakwa bahawa universiti awam di dalam dan luar negara tidak lagi mengamalkan sistem curfew, malah berjaya memastikan keselamatan pelajar melalui budaya kepercayaan dan tanggungjawab bersama, bukan melalui hukuman atau kawalan berlebihan.

“Curfew UiTM bukan sahaja lapuk, malah menjadikan universiti ini terasing daripada arah kemajuan pendidikan tinggi global,” tegas mereka.

Suara Siswa juga menyenaraikan beberapa insiden keselamatan seperti kes buli, gangguan seksual dan kecurian yang tetap berlaku walaupun curfew dikuatkuasakan, sekali gus membuktikan peraturan itu tidak berkesan.

Selain itu, terdapat juga aduan pelajar yang terpaksa menunggu di luar kampus hingga lewat malam kerana pintu pagar ditutup, menjadikan curfew lebih menyusahkan daripada melindungi.

BACA JUGA:  PM USM: Akar pokok rhu ancam jalan dan keselamatan, bukan sekadar isu hijau

Kenyataan itu turut mendakwa bahawa curfew sebenarnya berfungsi mengekang aktiviti mahasiswa pada waktu malam, termasuk perbincangan dan gerakan solidariti pelajar.

“Curfew bukan melindungi pelajar, ia melindungi sistem daripada pelajar,” kata kenyataan itu lagi.

Suara Siswa UiTM menuntut agar peraturan curfew dimansuhkan segera dan isu krisis kolej kediaman diselesaikan secara adil, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan, bukan berdasarkan merit yang dianggap menindas.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...