KUALA LUMPUR – Polis kini sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Tiara Apartment, Jalan Damar SD15/6, Bandar Sri Damansara pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan pada 14 Oktober lalu kira-kira pukul 4.50 petang.
Remaja terbabit dikenali sebagai Qhalesya Medina Roselaine, mempunyai ketinggian 1.48 meter, berat 48 kilogram, berkulit sawo matang, serta mempunyai hidung mancung dan bibir nipis. Beliau turut difahamkan bertudung semasa kali terakhir dilihat.
“Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan mangsa dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Izahita Itam di talian 010-251 3690.

