KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah pada 15 November, manakala pengundian awal pada 25 November dan hari mengundi biasa pada 29 November depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata writ pilihan raya bagi PRN Sabah telah dikeluarkan hari ini, menandakan permulaan rasmi kepada proses pilihan raya negeri berkenaan.
“Mesyuarat khas SPR yang bermula jam 10 pagi tadi diadakan khusus bagi membincangkan persiapan dan menetapkan tarikh-tarikh penting susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada 6 Oktober lalu,” katanya dalam sidang akhbar sebentar tadi.
Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan kali ini, melibatkan 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah.
PRN17 dijangka menjadi tumpuan utama politik tanah air susulan dinamik semasa antara parti-parti utama yang bakal menguji kekuatan pengaruh masing-masing menjelang pengundian hujung bulan depan.
