BATU PAHAT – Program Cermin Mata Masa Hadapan anjuran Hakka Optical sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia berjaya mencetuskan semangat inovasi dan kesedaran kesihatan mata dalam kalangan pelajar sekolah rendah di daerah ini.
Pertandingan bertemakan “Hakka Optical Love Your Eyes” itu disertai 90 pelajar daripada 22 buah sekolah, terdiri daripada 15 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan tujuh Sekolah Kebangsaan. Ia bertujuan menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dalam mereka bentuk cermin mata masa hadapan, di samping meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan penglihatan sejak usia muda.

Pengasas Hakka Optical, Angeline Hoo Pei Pei, berkata pertandingan itu bukan sekadar aktiviti seni, tetapi medan untuk melatih pelajar berfikir secara imaginatif dan menghargai kesihatan mata mereka.
Menurutnya, penganjuran pertandingan seperti ini mampu membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap pentingnya penglihatan sebagai aset utama dalam kehidupan seharian.
Penilaian pertandingan dikendalikan oleh panel juri profesional dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terdiri daripada Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan, Dr. Seow Tat Wei dan Sensei Junko Hiyama serta Mohd Fauzi Ahamad dari PPD Batu Pahat. Penilaian dibuat berdasarkan penjelasan idea, tahap inovasi, reka cipta dan penggunaan bahan, bukan hanya pada aspek kemahiran seni semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng, yang turut hadir, berkata program berkenaan merupakan platform penting bagi mencungkil bakat muda dalam bidang reka cipta dan inovasi.
Katanya, kemahiran berfikir secara kreatif dan futuristik amat penting dalam era teknologi pantas kini bagi melahirkan generasi yang mampu membawa Malaysia ke hadapan.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat (Pembangunan Bakat Murid), Mohd Fauzi Ahamad, berkata pertandingan tersebut menunjukkan keupayaan murid untuk mengintegrasikan nilai murni dalam hasil ciptaan mereka, termasuk ketepatan masa, kebersihan dan budaya komunikasi yang sihat.
Beliau menambah, sebahagian peserta turut menggunakan unsur kecerdasan buatan (AI) dalam rekaan masing-masing, selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 5.0.
Bagi kategori umur 7 hingga 9 tahun, Goh Yi Chen dari SJKC Panchor muncul johan, diikuti Sam Jen Cee dan Lai Xi Zhe dari SJKC Sin Hwa Bukit Pasir masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori umur 10 hingga 12 tahun pula, Muhammad Iman Aryan Herman dari SK Seri Manggis dinobatkan johan, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Xavier Go dari SJKC Panchor serta Ho Loy Shyn dari SJKC Ai Chun (1).
Para pemenang menerima hadiah wang tunai RM200, RM100 dan RM50 masing-masing untuk sekolah mereka, selain sepasang cermin mata hitam atau cermin mata biasa tajaan Hakka Optical. Penganjuran ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh pendidikan STEM serta menyemai minat pelajar terhadap sains, teknologi dan inovasi di bawah semangat Malaysia MADANI.
Majlis Anugerah Pertandingan Cermin Mata Masa Hadapan Daerah Batu Pahat 2025 yang diadakan di Hotel Landmark turut mendapat sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, selain diselaraskan bersama program Sains, Teknologi dan Inovasi 1003 (STI1003) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berteraskan visi MADANI dan JOHOR LEADS.

