KLANG – Seorang murid lelaki Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Meru di sini meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A, awal pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Syeikhu Azrin, 8, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi, selepas dilaporkan mengalami gejala berkaitan jangkitan tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, berkata siasatan awal mendapati mangsa disahkan positif Influenza A sebelum meninggal dunia.
“Seluruh ahli keluarga kanak-kanak itu juga didapati positif wabak berkenaan. Polis menerima laporan mengenai kematian tersebut pada awal pagi dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak pasukan kesihatan telah mengambil langkah pencegahan termasuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan bagi mengawal penularan jangkitan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, warga sekolah dan komuniti setempat turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah serta menyeru orang ramai agar lebih berwaspada terhadap simptom jangkitan Influenza A yang kini dilaporkan meningkat di beberapa kawasan.

