IPOH – Lima pelajar lelaki berusia 17 tahun yang tular selepas menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan ambulans dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang secara berbahaya selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima remaja itu didakwa menunggang motosikal dengan cara berbahaya kepada orang awam di Kilometer 249, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, pada pukul 3.15 petang, 19 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dikenakan terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin, dan menetapkan 5 Januari 2026 sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak. Semua tertuduh membayar wang jaminan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa lima remaja terbabit ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, antara pukul 3 petang hingga 9 malam, Isnin lalu, oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak selepas video aksi mereka menunggang motosikal secara berbahaya serta menghalang laluan ambulans tular di media sosial.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 19 Oktober lalu, ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan menuju ke Kilometer 260, Lebuh Raya Utara-Selatan, bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan.


