GEORGE TOWN – Seorang bekas banduan tidak mampu menahan sebak apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana, sekali gus membuktikan bahawa tidak pernah terlewat untuk bangkit memperbaiki diri.
Mohd Khairul Ab Aziz, 43, menerima Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan pada Sidang Ketiga Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) semalam, suatu detik yang disifatkannya sebagai kemenangan besar dalam usaha memulihkan maruah diri dan keluarga.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi hadiah buat dua anaknya yang terputus hubungan dengannya sejak setahun lalu.

âSaya lakukan semua ini untuk anak-anak. Saya mahu mereka tahu bahawa saya sedang berusaha memulihkan maruah yang pernah saya jatuhkan sendiri. Saya akui pernah tersilap langkah, tetapi saya bukan lagi insan yang dulu. Setiap hari saya berjuang untuk membuktikan perubahan itu kepada mereka,â katanya sambil menahan sebak.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor USM, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed, serta Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, Rozita Muhamad Shariff.
Perjalanan Transformasi Bermula Dari Sebalik Tirai Besi
Mohd Khairul yang dipenjarakan pada 2016 atas kesalahan berkaitan dadah berkata, titik perubahan hidupnya bermula pada 2020 selepas menghadiri sesi motivasi oleh Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun, dalam program Pembimbing Rakan Sebaya Teraputik Komuniti anjuran Jabatan Penjara Malaysia.
Hanya berpeluang belajar lima bulan di Penjara Seberang Perai, beliau mengakui proses itu cukup mencabar kerana akses kepada bahan rujukan sangat terhad.
âSepanjang tempoh itu, saya hanya dibenarkan menggunakan Internet selama satu jam setengah untuk mencari bahan rujukan. Apa sahaja yang sempat dicetak, itulah yang saya bawa pulang ke sel untuk dibaca,â katanya.
Selepas dibebaskan pada Disember 2021, beliau bertekad meneruskan perjuangan akademiknya dan tidak lagi menoleh ke belakang.
Kajian Pertama di Malaysia Dilapor ke Peringkat Antarabangsa
Lebih membanggakan, Mohd Khairul turut menjalankan kajian pertama di Malaysia mengenai penggunaan kokain, dan hasil kajian itu dilaporkan dalam laporan Global Cocaine oleh United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) di Vienna pada 2023.
âSaya tidak boleh mengubah gelaran bekas banduan, tetapi saya boleh mengubah diri melalui pendidikan. Dengan ilmu, saya ingin bantu lebih ramai individu yang terjebak dalam dadah untuk berubah,â katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perubahan hanya dapat berlaku jika seseorang benar-benar mahu berubah, selain sokongan sosial yang kukuh.

Harapan Bertemu Anak-Anak dan Impian Mengejar PhD
Kini menetap di Kuala Lumpur, Mohd Khairul sedang mengusahakan perniagaan makanan ringan dan berharap dapat dipertemukan semula dengan anak-anaknya suatu hari nanti.
Beliau juga merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah sebagai kesinambungan usaha memperkasa diri.
Doa dan Sokongan Keluarga Menjadi Kekuatan
Sementara itu, ibu beliau, Sarinah Abdullah, 65, meluahkan rasa syukur atas kejayaan anaknya.
âMak cik tak pernah putus berdoa. Hari ini mak cik sangat bangga melihat perubahan hidupnya. Harapan mak cik, dia terus kuat dan tidak kembali pada kehidupan lalu,â katanya.

