BENTONG – Seorang wanita berusia 26 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 3, Jalan Bentong-Raub berhampiran simpang tiga Lemang To’Ki malam semalam.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan motosikal yang ditunggang mangsa, Tengku Aida Nazura Tengku Ahmat, dirempuh kereta ketika keluar dari simpang, dengan kenderaan berkenaan memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah malam ketika mangsa dalam perjalanan dari Kampung Kuala Repas menghala ke Bentong, manakala kereta jenis Honda City itu bergerak dari arah Bentong ke Raub.
“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal yang hendak keluar dari simpang telah dilanggar oleh sebuah kereta dari arah Bentong. Akibat kemalangan, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemandu kereta, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Polis turut memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

