CYBERJAYA – Masa depan pendidikan digital negara terserlah apabila para pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh Malaysia mempamerkan kreativiti, kemahiran teknikal dan keupayaan berstrategi pada Grand Finale Todak Digital Creators Competition 2025 anjuran Todak Academy.
Pertandingan tahunan itu menjadi pentas penting kepada pelajar Program Pendidikan Digital Todak Academy untuk menzahirkan pembelajaran mereka melalui pembangunan 20 permainan video terbaik serta aksi kompetitif 5 pasukan e-sukan pilihan, semuanya dihasilkan berdasarkan modul Pembelajaran Berasaskan Permainan dan Pendidikan e-Sukan yang diterapkan sepanjang program.
Para peserta bukan sahaja menghasilkan produk digital sebenar, malah turut bertanding secara profesional membuktikan tahap kefahaman tinggi dalam kreativiti, teknologi dan strategi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy, Mohamad Taufik Rizal Aminuddin, menyifatkan kejayaan penganjuran kali ini sebagai manifestasi jelas kepada keberkesanan pendekatan pendidikan digital yang dibangunkan oleh pihaknya.
“Kami amat berbangga kerana para pelajar mampu menterjemahkan pembelajaran mereka kepada penghasilan permainan video yang berkualiti serta mempamerkan strategi dan disiplin yang tinggi dalam cabaran e-sukan,” katanya kepada MYBERITA.
Menurut beliau, aspek e-sukan yang diterapkan bukan sekadar pertandingan biasa, sebaliknya berfungsi sebagai medan pembentukan kemahiran penting seperti pemikiran analitikal, penyelesaian masalah masa nyata, koordinasi pasukan serta kepimpinan kompetensi yang amat diperlukan dalam ekosistem ekonomi digital masa kini.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan para pemegang taruh pendidikan digital, dengan kehadiran juri profesional daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, MDEC serta Todak Studios.
Todak Academy menegaskan bahawa platform ini bergerak seiring usaha memacu aspirasi Dasar Pendidikan Digital KPM, selain berperanan melahirkan generasi pelajar yang lebih bersedia menghadapi perkembangan teknologi masa depan.
Pertandingan tahun ini menyaksikan kemenangan pelajar cemerlang dalam dua kategori utama. Bagi Kategori Pembelajaran Berasaskan Permainan peringkat sekolah rendah, gelaran juara menjadi milik Muhammad Zyad Moktar dari Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19, diikuti Shaharil Aiden Shahril Anwar dari SK Saujana Putra di tempat kedua, manakala Ali Imran Mohd Hareez dari SK Bandar Bukit Mahkota di tempat ketiga.
Bagi Kategori Sekolah Menengah, tempat pertama dirangkul Nor Adra Shafiyya Shahril Anwar dari SMK Bandar Saujana Putra, manakala Wan Hafizh Zahir Wan Huzaifah dari SMK Jalan Tiga meraih tempat kedua dan Muhammad Afiq Afifiy Saiful Azmir dari SMK Desa Cempaka di tempat ketiga.
Tidak kurang sengit ialah Kategori Cabaran e-Sukan, yang menyaksikan pasukan Team 1 Todak Apprentice muncul juara setelah mengatasi saingan rapat daripada SMK Seri Kembangan selaku naib juara, manakala Main Team Todak Apprentice berada di tempat ketiga.

