Sukan SEA 2025: Emas gimrama ‘hilang’, Malaysia dakwa hakim berat sebelah

BANGKOK – Rekod pingat emas skuad gimrama negara yang dipertahankan sejak edisi 2017 akhirnya terhenti apabila Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara latihan berpasukan (3 bola, 2 gelung) pada Sukan SEA Thailand 2025, susulan keputusan pengadilan yang didakwa kontroversi.

Pengurus pasukan negara, Afrita Ariany Nasril, meluahkan kekecewaan terhadap kualiti pengadilan yang disifatkan berat sebelah, meskipun skuad negara mempamerkan aksi lebih kemas berbanding Thailand yang disahkan muncul juara dengan 22.900 mata, berbanding Malaysia 22.500 mata.

Menurut Afrita, keputusan tersebut sukar diterima memandangkan pasukan tuan rumah melakukan kesilapan ketara dalam rutin mereka namun tetap diberikan markah tinggi oleh juri.

“Secara keseluruhan, saya tidak berpuas hati. Memang ada sedikit kesilapan di pihak kita, tetapi pasukan tidak layak menerima nasib begini. Emas itu ibarat ‘dirompak’ secara terang-terangan.

“Markah yang Thailand terima tidak setimpal dengan persembahan mereka. Malah, kita sudah melakukan bantahan rasmi sejurus tamat perlawanan namun tidak diterima dan tiada perubahan markah dilakukan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Keputusan itu menyaksikan dominasi Malaysia dalam acara berkenaan berakhir, selepas kali terakhir dipertandingkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, Afrita kekal profesional dengan menerima keputusan bagi satu lagi rutin iaitu 5 reben, yang diakui mempunyai kesilapan di pihak skuad negara.

“Untuk acara reben, memang ada kesilapan di pihak kami, jadi saya anggap keputusan itu adil. Namun untuk bola dan gelung, kemenangan sepatutnya milik kita,” jelasnya.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Komanwel dua kali, Ng Joe Ee, menamatkan kariernya dengan kekecewaan apabila sekadar meraih pingat gangsa individu all-around selepas mengumpul keseluruhan 96.890 mata. Atlet berusia 20 tahun itu berkongsi pingat gangsa bersama gimnas tuan rumah, Piyada Peeramatukorn.

BACA JUGA:  Amira Othman dedah pernah dihina dengan kata kesat ketika 'live'

Pingat emas individu menjadi milik Jasmine Althea Romelo dengan 102.180 mata, manakala Mikayla Yang dari Singapura meraih pingat perak dengan 101.490 mata.

Secara keseluruhan, keputusan kontroversi itu menyaksikan skuad gimrama negara terlepas sasaran dua pingat emas yang ditetapkan, apabila hanya membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya Sukan SEA kali ini.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...