Biarpun menamatkan saingan di tempat ketiga, Danish hanya tewas tipis dalam perebutan pingat perak kepada pelari Singapura, Marc Brian Louis, yang merekodkan masa 20.72s. Pingat emas acara berprestij itu menjadi milik sensasi tuan rumah, Boonson Puripol, yang mencatat masa 20.07s sekali gus mencipta rekod baharu temasya.
Mengulas pencapaiannya, Danish memilih untuk menzahirkan rasa syukur dan enggan terlalu memikirkan kekalahan tipis dalam perebutan pingat perak.
“Alhamdulillah, saya tidak pernah jangka dapat pecahkan rekod kebangsaan. Saya sangat bersyukur dan catatan ini juga adalah rekod peribadi terbaik saya.
“Tidak mengapa terlepas perak. Bagi saya sudah sangat bersyukur dapat berada di podium pada penampilan pertama saya di Sukan SEA,” katanya.
Kejayaan itu melengkapkan kutipan dua pingat peribadi buat Danish di Bangkok selepas turut menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 100m, kelmarin. – MYBERITA








