KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas ke JB Sentral akan ditamatkan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, selepas sembilan tahun beroperasi yang sebelum ini dikenali sebagai Shuttle Selatan dan menghubungkan Gemas ke Woodlands dengan nombor tren 61 dan 62.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, penamatan perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada penyelarasan perancangan dan pengoptimuman operasi perkhidmatan penumpang di jajaran selatan, sejajar dengan kemajuan serta kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas Bahru.
“Langkah ini juga bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berfokus kepada pengalaman perjalanan penumpang,” menurut kenyataan KTMB hari ini.
Seiring penamatan perkhidmatan tren Ekspres Selatan, KTMB memaklumkan bahawa keperluan perjalanan penumpang di sektor selatan akan terus diperkukuh melalui pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) sehingga ke JB Sentral dengan lapan perkhidmatan sehari, bermula 1 Januari 2026.
“Dengan lengkapnya perkhidmatan ETS ini, penumpang kini menikmati perjalanan yang lebih moden, mesra pengguna dan mesra alam, di samping menawarkan masa perjalanan yang lebih efisien serta pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa,” kata KTMB.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa dan kekal sebagai pilihan utama penumpang dari sektor selatan ke Pantai Timur.
Selain itu, perkhidmatan Shuttle Timuran turut disediakan sebagai alternatif perjalanan secara henti-henti bagi laluan Gemas – Tumpat.

