KAJANG – Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di kawasan Tol Sungai Long, Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) menghala ke Balakong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek yang bekerja sebagai pekerja swasta itu ditahan pada pukul 10.30 malam semalam.
“Suspek mempunyai satu rekod jenayah dan kini direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-974 0758 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan mengenai pergaduhan membabitkan dua individu, di mana salah seorang dipercayai memegang objek disyaki kayu, kira-kira pukul 9.08 malam kelmarin.

