KUALA LUMPUR – Proses pemulihan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) susulan patah tulang pinggul dijangka mengambil masa yang agak lama berikutan faktor usia.
Pegawai Pejabat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Sufi Yusoff berkata, selepas perbincangan bersama doktor pakar dari IJN, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), rawatan terbaik untuk Tun Dr. Mahathir diputuskan melalui kaedah fisioterapi tanpa pembedahan.
“Setelah berbincang dengan doktor pakar di IJN, HUKM dan HKL, diputuskan bahawa rawatan fisioterapi tanpa pembedahan adalah pilihan yang terbaik baginya.
“Mengambil kira faktor usia Dr. Mahathir juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini, sebentar tadi.
Menurut Sufi, Tun Dr. Mahathir masih meneruskan rawatan di IJN bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat terjatuh di kediamannya di The Mines pada 6 Januari lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tun Dr. Mahathir dan keluarga turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan doa yang tidak putus-putus terhadap kesihatan serta kesejahteraan bekas Perdana Menteri itu.
“Buat masa ini juga, Dr. Mahathir tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali ahli keluarga terdekat,” katanya.

