KUALA LUMPUR – Menjelang 188 hari menuju upacara perasmian Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 dan Para Sukma Selangor 2026, kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 5,000 sukarelawan bagi memastikan kelancaran penganjuran acara dwitahunan kebangsaan itu yang dijadualkan pada Ogos dan September depan.
Sukarelawan yang terlibat akan berperanan sebagai nadi penggerak di kesemua 52 venue utama pertandingan yang terletak di sembilan daerah di Selangor, membantu pihak sekretariat penganjur dalam pelbagai tugas sepanjang kejohanan berlangsung.
Belia yang berminat dijemput untuk mendaftarkan diri melalui laman sesawang rasmi Sukma Selangor 2026.
Sukma tahun ini menampilkan 474 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para Sukma membabitkan 316 acara daripada 10 jenis sukan yang akan dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, menyeru lebih ramai anak muda di negeri ini untuk menyertai sebagai sukarelawan.
“Saya mengharapkan anak muda di Selangor khususnya dapat terlibat sebagai sukarelawan. Mereka akan dapat pendedahan yang jarang boleh didapati. Kami mahu penganjuran terbaik dan bermakna yang memberikan impak kepada anak-anak muda di Negeri Selangor,” katanya.

