LRT laluan Kelana Jaya tergendala lagi, penumpang berang bersesak sejak awal pagi

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami gangguan sekali lagi pagi ini sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen utama.

Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai terpaksa bersesak di beberapa stesen termasuk Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan beberapa lokasi lain sejak awal pagi.

Lebih membimbangkan, tular satu gambar memaparkan seorang penumpang pitam dipercayai akibat terlalu lama berhimpit dan menunggu tren yang lewat tiba. Insiden terbaharu itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna yang menyifatkan alasan gangguan teknikal selama dua hari berturut-turut sebagai tidak munasabah.

Rata-rata pengguna meluahkan rasa kecewa terhadap pengendali perkhidmatan, Rapid KL, serta mempersoalkan tahap penyelenggaraan dan kecekapan pengurusan sistem pengangkutan awam berkenaan.

Seorang pengguna media sosial, AlifAznee, menyifatkan gangguan berulang kali itu seolah-olah menjadi kebiasaan.

“Dua hari berturut-turut? Dalam enam bulan ini sudah berapa kali gangguan teknikal? Macam kejar KPI pula setiap hari nak rosak,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Szznea, memaklumkan dia keluar rumah seawal 5.50 pagi untuk menghadiri kelas pada jam 8.30 pagi, namun masih terkandas di stesen akibat gangguan berkenaan.

Danisams pula meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa berdepan kelewatan dua hari berturut-turut.

“Semalam dah lambat masuk pejabat, takkan hari ini pun sama? Sejak 7.45 pagi saya di Stesen Kelana Jaya, sekarang sudah 8.23 pagi masih belum bergerak,” ujarnya.

Seorang pengguna lain, Ziela, berkata segala usaha bangun awal dan menghantar anak ke sekolah menjadi sia-sia apabila tetap lewat tiba di tempat kerja susulan gangguan tersebut.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen Facebook rasmi Rapid KL mendapati majoriti pengguna meninggalkan kritikan pedas dan menuntut penjelasan lebih telus berhubung punca sebenar gangguan berulang itu.

BACA JUGA:  BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus, ekonomi negara dijangka terus kukuh

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan tren mengalami kelewatan antara Stesen Asia Jaya dan Taman Bahagia berikutan sebuah tren dipandu secara manual. Tren berkenaan telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi tujuan keselamatan dan pelarasan operasi.

Menurut kenyataan itu lagi, jadual perjalanan sedang diselaraskan dan perkhidmatan kini kembali beroperasi seperti biasa, namun memerlukan sedikit masa untuk menguruskan kesesakan penumpang yang terjejas.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami dan mengucapkan terima kasih atas kesabaran anda,” menurut kenyataan tersebut.

Lukhman Razif
Lukhman Razif
lukhman@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...