KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Negeri Selangor (DOF) menahan empat lelaki warga tempatan kerana dipercayai mengambil benih kerang tanpa kebenaran di sekitar daerah Sabak Bernam, semalam.
Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, sepasukan anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) menjalankan operasi rondaan darat kira-kira pukul 5.40 petang sebelum mengesan aktiviti mencurigakan di sebuah jeti di Bagan Sungai Pulai.
“Pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti memunggah anak kerang ke dalam sebuah lori. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen lesen atau kebenaran berkaitan aktiviti pengambilan kerang dikemukakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya menyita sebuah lori tiga tan, tujuh tangguk galah halus, 160 guni anak kerang serta dokumen urus niaga.
Beliau berkata, empat individu berusia lingkungan 20-an hingga 60-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM107,500 dan semua barang kes dibawa ke lokasi tahanan jabatan untuk tindakan lanjut.
“Kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Malaysia Selangor dan disiasat mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002,” katanya.

