KUNDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap tujuh pemuda yang bertindak pantas menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam nahas di Kundang semalam.
Menurut beliau, keberanian pemuda berkenaan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa orang lain wajar dipuji dan dijadikan teladan masyarakat.
“Saya tersentuh tatkala membaca kisah keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil yang terbabit dalam nahas di Kundang. Tindakan nekad mereka yang mendahulukan nyawa orang lain walaupun keselamatan diri sendiri menjadi taruhan sudah menyelamatkan tiga nyawa,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Anwar menambah, keberanian dan keikhlasan tujuh pemuda itu mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna.
“Saya juga mendoakan semoga ibu serta kedua-dua anak ini diberikan kesembuhan dan terus berada dalam perlindungan Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang ibu bersama dua anak kecil berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik. Bagaimanapun, tindakan pantas tujuh pemuda yang berada di lokasi kejadian berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa daripada lemas.

