BAITULMAQDIS – Tentera Israel melaporkan pengesanan beberapa peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran pada Sabtu, susulan siren amaran berbunyi di beberapa kawasan di negara itu.
Tindakan ini berlaku selepas Israel sebelum ini melancarkan serangan ke atas musuh ketatnya.
“Tidak lama dahulu, siren kedengaran di beberapa kawasan di seluruh negara susulan pengenalpastian peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah Israel,” menurut kenyataan rasmi tentera Israel.
Orang ramai menerima mesej telefon bimbit yang menggesa mereka mencari perlindungan segera.
Wartawan AFP turut mendengar beberapa letupan di Baitulmaqdis ketika siren serangan udara dilaungkan di bandar itu.
Tentera Israel menegaskan bahawa beberapa serangan peluru berpandu dari Iran dikesan.
“Satu lagi serangan peluru berpandu dilancarkan ke arah Israel. Orang ramai diminta untuk terus mengikuti arahan Komando Barisan Dalam Negeri dan kekal di kawasan terlindung sehingga notis rasmi dikeluarkan,” kata tentera Istarel dalam satu kenyataan.
Keadaan semasa masih dipantau rapi oleh pihak keselamatan, manakala orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa. – MYBERITA

