PASIR GUDANG – Tular di media sosial aksi seorang lelaki berpaut pada sebuah kereta bergerak di kawasan Seri Alam, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan bekas isterinya.
Rakaman video berdurasi 11 saat menunjukkan lelaki berbaju T dan berseluar hitam itu berpaut pada kereta Suzuki Swift biru sebelum terjatuh, menarik perhatian ramai netizen.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata siasatan awal mendapati pertelingkahan berlaku pada jam 3.30 petang semalam di sebuah pasaraya di Bandar Seri Alam. Lelaki terbabit memanjat bonet kereta dan berpaut sejauh kira-kira 2 kilometer.
Tambah beliau, sekumpulan lelaki dipercayai rakan suspek kemudian menghalang kenderaan wanita terbabit, memeras ugut serta merampas barangan dan memecahkan cermin kereta mangsa.
Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai, pada jam 2 pagi tadi. Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan reman tujuh hari sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif ketamin. Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (perbuatan khianat), dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (penggunaan dadah).
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Muhammad Arif Azlan Ali Ahmad di 011-61863876 atau hotline IPD Seri Alam di 07-3864222. – MYBERITA

