SABAK BERNAM – Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara asal melalui jalan laut dengan menggunakan khidmat sindiket penyeludupan migran berjaya ditumpaskan dalam serbuan di perairan Sabak Bernam, awal pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, seramai 49 individu termasuk tiga tekong warga Indonesia diberkas dalam Op Pintas yang dijalankan kira-kira jam 2 pagi.
Menurut beliau, operasi tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), D3, JSJ Bukit Aman bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran yang semakin berleluasa.
“Serbuan dilakukan kira-kira tiga batu nautika dari perairan Sabak Bernam. Kita berjaya menahan tiga lelaki dipercayai tekong serta 46 migran warga Indonesia terdiri daripada 26 lelaki dan 20 wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Task Force NSO MAPO, Kementerian Dalam Negeri.
Siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Indonesia dari pesisir pantai Sabak Bernam dengan menggunakan bot jenis ‘pom pom’.
“Setiap migran dipercayai dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 seorang yang dibayar secara tunai kepada transporter,” jelasnya.
Kesemua tangkapan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tegas Kumar, pihaknya akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah tersebut kepada pihak polis bagi membantu usaha pembanterasan. -MYBERITA

