PETALING JAYA – Pemeriksa kira-kira Masjid Ahmadi, Rantau Panjang, Klang, Selangor meninggal dunia ketika menunaikan solat Zohor secara berjemaah di masjid berkenaan semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang, Abu Bakar Ibrahim, 64, yang juga kariah masjid tersebut dilaporkan rebah ketika rakaat kedua solat Zohor sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menerusi satu hantaran yang tular di media sosial @bostammi, arwah tiba-tiba jatuh ke belakang ketika sedang menunaikan solat bersama jemaah lain.
Seorang kariah masjid yang berada di lokasi kejadian berkata, Abu Bakar dilihat tercungap-cungap beberapa kali sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang menzahirkan rasa sedih selain mendoakan kesejahteraan roh arwah.
“Takziah buat seluruh keluarga Allahyarham,” tulisnya.
Seorang lagi warganet menyifatkan pemergian arwah sebagai sesuatu yang dicemburui khususnya kerana berlaku pada bulan Ramadan. -MYBERITA

