KUALA LUMPUR – Suasana di beberapa cawangan bank sekitar ibu negara dan Lembah Klang mula dipenuhi orang ramai yang sanggup beratur panjang seawal pagi bagi menukar duit raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Tinjauan MYBERITA menerusi perkongsian pengguna di media sosial mendapati orang ramai dilihat berbaris di luar premis bank, malah ada yang mendakwa keadaan sudah sesak sejak awal pagi lagi.
Rata-rata pelanggan tidak melepaskan peluang menukar duit raya lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk pada saat akhir menjelang sambutan Syawal.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang pengguna memaklumkan suasana di sebuah cawangan bank di Jalan Gombak kelihatan meriah dengan kehadiran pelanggan yang datang khusus untuk urusan tersebut.
âKemeriahan Maybank Jalan Gombak pada pagi tadi. Rasanya kebanyakan yang beratur sebab nak tukar duit raya ni,â tulisnya sambil berkongsi gambar pelanggan berbaris panjang di hadapan bank berkenaan.
Seorang lagi pengguna, @NanieyShahrom, turut berkongsi keadaan sama di sebuah bank lain dan mengingatkan orang ramai supaya menukar duit raya lebih awal.
âKorang dah boleh tukar duit raya. Tukar awal tak kalut. Ni pun dah beratur sampai ke luar,â katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna lain, @Norhamizah91, memaklumkan orang ramai sudah mula beratur sejak awal pagi di sebuah cawangan bank di Wangsa Maju.
âPagi-pagi dah ramai orang beratur tukar duit raya. Bertabah lah. Maybank Wangsa Maju,â tulisnya.
Sementara itu, beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman menunggu hampir dua jam bagi menyelesaikan urusan menukar duit raya di kaunter bank.
âPecah rekod hari ni beratur kat Maybank hampir dua jam semata-mata nak tukar duit raya. Beratur tunggu bank buka 30 minit, tunggu giliran nak ke kaunter satu jam,â tulis @NurAmirahRosland.
Seorang lagi pengguna, @NoorShahierah, memaklumkan suaminya menunggu sejak jam 9 pagi hingga 2 petang bagi mendapatkan duit raya.
âSuami tengah beratur tukar duit raya. Dari pukul 9 pagi sampai sekarang. Sampai habis bateri telefon dia. Punya lama beratur,â katanya.
Walaupun keadaan dilihat sesak, kebanyakan pelanggan dilaporkan tetap beratur dengan tertib dan menunggu giliran masing-masing bagi memastikan urusan di kaunter berjalan lancar. – MYBERITA

