KUALA KANGSAR – Lebih 27,000 pelita panjut menerangi suasana malam di Kuala Kangsar sempena Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026 yang berjaya menarik kira-kira 20,000 pengunjung sejak Ahad lalu.
Tumpuan utama pesta tersebut adalah di kawasan Persisiran Sayong Lembah yang dihiasi dengan pelbagai struktur panjut kreatif melibatkan penyertaan daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kampung sekitar.
Sebanyak 27,830 pelita dinyalakan melibatkan 21 penyertaan, terdiri daripada lapan kategori agensi kerajaan dan NGO serta 13 penyertaan daripada kampung-kampung tempatan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, pelbagai tema berteraskan identiti dan warisan tempatan ditampilkan termasuk rekaan ikonik seperti Masjid Ubudiah, Istana Kenangan, Istana Iskandariah, labu Sayong, Menara Jam Besar serta rumah tradisional Melayu.
Menurutnya, penganjuran pesta itu diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan dalam memperkukuh warisan budaya serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
“Program ini bukan sahaja memperkasa identiti Kuala Kangsar sebagai bandar bersejarah, malah membantu mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman budaya unik,” katanya ketika majlis perasmian dan penyampaian hadiah pertandingan panjut tersebut.
Sebanyak RM24,000 diperuntukkan sebagai hadiah kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi dua kategori dipertandingkan, selain RM9,000 sebagai hadiah saguhati.
Penganjuran pesta berkenaan melibatkan kos keseluruhan sekitar RM175,000 termasuk peruntukan kerajaan negeri serta sokongan daripada pihak berkaitan.
Tambahnya, meskipun kos bahan seperti minyak pelita meningkat, bantuan yang disalurkan membolehkan peserta terus menjayakan persembahan panjut selama beberapa malam.
Penganjuran pesta itu juga dilihat sebagai usaha menghimpunkan tradisi panjut yang sebelum ini banyak diadakan di kawasan kampung terpencil ke satu lokasi lebih mudah diakses oleh pengunjung. – MYBERITA

