Situasi global tak menentu, PM minta rakyat sambut raya secara sederhana

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar mengamalkan sikap bersederhana dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri, khususnya dari segi perbelanjaan.

Beliau berkata, seruan itu dibuat susulan situasi konflik yang melanda Asia Barat ketika ini yang turut memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk bekalan petroleum.

“Saya harap rakyat faham walaupun kita nak meraikan Aidilfitri, kita tetap perlu bersederhana. Yang boleh jimat, jimat. Yang penting sabar dan faham situasi semasa,” katanya ketika berucap pada program Santai Akhir Ramadan PMX bersama pimpinan komuniti Permatang Pauh di Kampung Pelek, di sini.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi contoh secara berseloroh dengan menyarankan agar jumlah penyediaan kuih raya dikurangkan sebagai langkah berjimat.

“Kalau sebelum ini buat banyak, mungkin boleh kurangkan. Yang penting kita raikan dengan sederhana,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya terus menjaga perpaduan dan semangat kerjasama dalam masyarakat, selain bersyukur dengan keadaan ekonomi negara yang masih stabil berbanding negara lain.

“Malaysia masih mampu bertahan, jadi kita perlu bersyukur dan terus memelihara keadaan ini. Jangan ambil mudah kerana keadaan ini tidak semestinya kekal,” ujarnya.

Terdahulu, beliau turut menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Jamek As-Syakirin Kampung Pelek sebelum menghadiri program berkenaan. – MYBERITA

BACA JUGA:  Kenaikan harga minyak tidak jejas subsidi RON95 – PM Anwar
Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...