KUALA LUMPUR – Anak kepada Noor Nabila dan Sharnaaz Ahmad iaitu Jebat Jayden mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan jumlah kutipan duit rayanya tahun ini yang mencecah lebih RM18,000.
Menerusi video yang dikongsikan, Jebat dilihat sedang asyik mengira duit raya bersama ibunya dalam suasana santai.
Apa yang mengejutkan, jumlah keseluruhan duit raya yang berjaya dikumpul kanak-kanak itu adalah sebanyak RM18,369.
Selain wang tunai yang mencecah belasan ribu ringgit, Jebat turut menerima beberapa keping jongkong emas sebagai hadiah Hari Raya daripada ahli keluarga dan kenalan terdekat.
Antara jongkong emas yang diterima termasuk keluaran Poh Kong (Bunga Raya) seberat 10 gram dan 1 gram, PAMP Suisse (10 gram) serta Tomei (1 gram).
Difahamkan, pemberian tersebut merupakan hadiah daripada keluarga, sanak saudara serta kenalan rapat yang ingin berkongsi rezeki sempena Aidilfitri.
Rata-rata warganet teruja melihat jumlah rezeki dimiliki Jebat Jayden pada usia muda.
“Ini bukan duit raya biasa, ini level kayangan. Untung Jebat!” kata seorang pengguna.
“Siap dapat jongkong emas, memang boleh simpan sampai besar. Anak saya dapat RM10 pun syukur dah,” kata seorang lagi pengguna.
Perkongsian video itu turut menarik perhatian warganet yang teruja melihat jumlah duit raya dan hadiah emas yang diterima Jebat, selain mendoakan agar rezekinya terus dimurahkan pada masa akan datang. -MYBERITA

