KUALA LUMPUR – Pelakon Nur Fazura meluahkan kegembiraan atas pertunangan pelakon Bella Astillah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq pada 28 Mac lalu.
Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 43, berkata Bella beruntung kerana dipertemukan dengan pasangan yang menyayangi dirinya serta dua cahaya mata dengan penuh kasih sayang.
“Kita mendoakan dan akhirnya hanya Allah SWT Maha Menentukan yang terbaik. Syukur Alhamdulillah. Tahniah buat adikku, Bella Astillah yang kini menjadi tunangan lelaki budiman, Syed Saddiq yang menyayangimu dan anak-anak dengan sepenuh hati,” katanya dalam satu hantaran di Threads.
Selain itu, Fazura turut mendoakan agar hubungan pasangan yang terkenal dengan gelaran BASS itu kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
“Semoga Allah SWT melindungi kalian dengan hikmah, petunjuk, keredhaan-NYA dan kasih sayang yang tersemai di dalam hati kalian sentiasa mekar di dunia serta akhirat, amin. Bahagia kalian, bahagia kami,” tambahnya yang turut hadir ke majlis pertunangan berkenaan.
Untuk rekod, Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, selamat bertunang dengan Syed Saddiq dalam majlis yang berlangsung di ibu negara pada 28 Mac lalu.
Sebelum itu, Bella dilamar Ahli Parlimen Muar itu ketika mendaki puncak Gunung Kinabalu sekitar Januari lalu. –MYBERITA

