Nasional26,457 pelajar baharu terima WPP RM1,500 PTPTN

26,457 pelajar baharu terima WPP RM1,500 PTPTN

KUALA LUMPUR – Seramai 26,457 pelajar baharu Universiti Awam (UA) dan Politeknik bakal menerima bantuan awal RM1,500 menerusi Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bagi sesi September 2026, sekali gus membantu mereka membuat persiapan sebelum melangkah ke kampus.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM39.7 juta bagi pelaksanaan kemudahan itu yang bertujuan meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga, khususnya dalam menyediakan keperluan awal pengajian.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kemudahan berkenaan menjadi antara inisiatif strategik bagi memastikan kekangan kewangan tidak membebankan pelajar ketika membuat persiapan memasuki institusi pengajian tinggi.

“Seiring dengan aspirasi tersebut, WPP PTPTN merupakan antara inisiatif strategik yang dilaksanakan bagi menyediakan sokongan kewangan awal kepada pelajar, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan dan memenuhi keperluan asas sebelum pelajar memulakan pengajian di Universiti Awam (UA) dan Politeknik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut PTPTN, WPP ditawarkan kepada pelajar warganegara Malaysia yang memberikan persetujuan untuk menerima kemudahan tersebut ketika membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi UPUOnline atau portal kemasukan UA.

Antara syarat lain ditetapkan ialah ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain memenuhi kriteria kelayakan WPP.

Terdahulu, PTPTN menyantuni beberapa pelajar yang menerima tawaran WPP menerusi program ziarah ke kediaman mereka di sekitar Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN bagi Parlimen Bukit Gelugor yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Penang pada 4 September 2026.

Program berkenaan disusuli Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman bagi kawasan Bukit Gelugor yang disempurnakan Norliza.

Turut hadir Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Pelajar yang menerima tawaran WPP boleh membuat semakan menerusi aplikasi myPTPTN sebelum menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara.

Bagi tujuan penunaian, pelajar perlu hadir sendiri dengan membawa surat tawaran WPP dan MyKad kerana urusan melalui wakil tidak dibenarkan. Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan sehingga 3 November 2026.

PTPTN memaklumkan WPP telah diperkenalkan sejak 1999 sebagai kemudahan kewangan awal kepada pelajar sebelum memulakan pengajian di institusi pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, pelajar yang mahu mendapatkan pinjaman PTPTN boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN berdasarkan tarikh permohonan yang ditetapkan bagi UA dan Politeknik masing-masing.

Pemohon juga perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), yang boleh dibuka melalui aplikasi sama.

Maklumat lanjut mengenai WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN, Bahagian Hal Ehwal Pelajar institusi masing-masing atau dengan menghubungi PTPTN.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-