SHAH ALAM – Alasan tidak mengetahui cukai jalan tamat tempoh, memiliki terlalu banyak kenderaan serta kekangan kewangan antara yang diberikan lima pemandu selepas ditahan dalam Ops Luxury di Persiaran Setia Perdana, semalam.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu menyaksikan kesemua pemandu lelaki berusia antara 30 hingga 63 tahun ditahan dalam tempoh dari pukul 10.56 pagi hingga 1.27 tengah hari.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pemeriksaan mendapati mereka memandu kenderaan mewah seperti BMW, Mini Countryman, Denza, Tesla dan Toyota Alphard ketika dalam perjalanan ke Setia Alam dan Seksyen 7.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kenderaan terbabit mempunyai cukai jalan yang telah tamat tempoh antara setahun hingga dua tahun, selain tidak memiliki perlindungan insurans.
“Siasatan mendapati ada antara mereka memberi alasan tidak mempunyai wang, tidak sempat memperbaharui lesen, selain memiliki terlalu banyak kenderaan sehingga tidak mengetahui status Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, terdapat juga sebuah kenderaan yang digunakan adalah milik syarikat tempat salah seorang pemandu bekerja.
Dalam pada itu, semakan turut mendapati dua daripada pemandu terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau dengan JPJ.
Kesemua kenderaan tersebut telah disita dan dibawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Azrin menegaskan, JPJ Selangor akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan. – MYBERITA

