KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu e-hailing yang tetap berusaha memastikan penumpang selesa walaupun berdepan masalah kesihatan mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu perkongsian di Threads, @husnazaris menceritakan pengalamannya menaiki perkhidmatan e-hailing melibatkan pemandu yang didakwa mempunyai bau badan seperti ikan.
Menurutnya, pada awalnya dia menyedari bau tersebut, namun pemandu berkenaan dilihat berusaha memastikan penumpang berada dalam keadaan selesa sepanjang perjalanan.
Katanya, kenderaan pemandu itu berada dalam keadaan bersih dan berbau wangi, malah lelaki berkenaan turut mengunyah gula-gula getah sebelum penumpang masuk ke dalam kereta.
“Bagi yang bertanya betul ke bau ikan, untuk hidung sensitif seperti saya, boleh dikatakan pemandu itu telah berusaha sebaik mungkin untuk menutup bau tersebut.
“Keretanya bersih dan berbau wangi, malah dia turut mengunyah gula-gula getah sebelum saya masuk,” katanya.
Pengguna tersebut turut berkongsi gambar memaparkan usaha pemandu itu menampal notis pemberitahuan di tempat duduk penumpang mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya sehingga menyebabkan bau badan.
“Hello, saya pemandu Grab mengalami Metabolic disorders (gangguan metabolik), masalah yang tiada ubat, tapi saya 100 peratus bersih. Harap maaf,” jelas pemandu terbabit.
Menerusi notis berkenaan, pemandu itu memaklumkan dia menghidap gangguan metabolik yang tidak mempunyai ubat, namun tetap menjaga kebersihan diri dan memohon maaf atas keadaan tersebut.
Di samping itu, pengguna Threads berkenaan menyeru orang ramai agar tidak mudah menilai seseorang hanya berdasarkan bau badan kerana kemungkinan individu tersebut berdepan masalah kesihatan tertentu.
Perkongsian tersebut turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen yang rata-rata mengakui keadaan berkenaan mungkin berpunca daripada masalah perubatan yang tidak dapat dikawal.
Seorang pengguna berkata, dia pernah mengalami situasi sama sejak zaman sekolah sehingga menjejaskan keyakinan diri walaupun telah menjaga kebersihan diri dengan baik.
Selain itu, terdapat juga netizen yang memaklumkan bahawa mereka baru pertama kali mengetahui mengenai keadaan tersebut.
Sementara itu, pengguna lain menegaskan orang ramai tidak sepatutnya cepat menghukum kerana ada individu yang berdepan kondisi kesihatan tertentu. –MYBERITA

