KUALA LUMPUR – Perjalanan dua wanita Malaysia yang melancong ke Korea Selatan bertukar menjadi pengalaman manis apabila secara tidak sengaja mereka terserempak dengan peserta rancangan realiti popular Korea, Running Man.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, kedua-dua wanita itu dilihat begitu teruja apabila berpeluang bertemu secara dekat dengan pelakon terkenal Song Ji Hyo serta beberapa ahli tetap rancangan tersebut.
Lebih mengujakan, mereka turut diajak menyertai salah satu permainan ikonik Running Man dan tanpa disangka-sangka berjaya membantu peserta menyelesaikan misi yang diberikan.
Walaupun tidak mendapat penjelasan penuh mengenai peraturan permainan, kedua-duanya dilihat pantas menyesuaikan diri dengan cabaran yang diberikan.
“Salah satu momen rawak semasa trip kami, tapi otak ‘loading’ betul sebab tengah proses betul ke Song Ji Hyo depan mata,” kata salah seorang daripada mereka menerusi hantaran di Thread.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna media sosial berkongsi rasa bangga dan teruja melihat keterlibatan rakyat Malaysia dalam rancangan terkenal itu.
“Dengan saya sekali meremang masa awak jawab tu. Saya pula rasa bangga awak jawab betul.”
“Apa perasaan masa jumpa depan-depan? Mesti teruja kan, kalau aku mesti terus gagap.”
“Bangganya sebagai peminat Running Man bertahun-tahun tengok, ini nampak rakyat Malaysia siap jawab betul lagi,” kata pengguna-pengguna pada ruangan komen di Thread.
Pengalaman spontan itu nyata meninggalkan kenangan manis bukan sahaja buat kedua-dua pelancong terbabit, malah turut dikongsi ribuan pengguna yang setia mengikuti perkembangan rancangan kegemaran ramai tersebut.

