KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Sufian Suhaimi berkongsi berita gembira apabila isterinya, Rania Al Sadat, kini hamil cahaya mata pertama mereka dan dijangka melahirkan bayi dalam masa terdekat.
Menurut Sufian, kandungan isterinya kini sudah hampir mencecah 37 minggu dan mereka hanya menunggu masa untuk menyambut kelahiran zuriat sulung.
“Yes, betul. Saya bakal menjadi seorang bapa. Lepas ini, jangan panggil saya Baby Pian lagi… Dah tak lama dah. Kami tengah menunggu masa saja,” katanya.
Sufian turut memaklumkan bahawa segala persiapan keperluan bayi telah dibuat, namun dari segi emosi dan mental, dia mengakui masih berdebar menantikan pengalaman bergelar bapa buat kali pertama.
“Barang-barang semua dah siap, tapi dari segi emosi memang masih berdebar. Kawan-kawan pun cakap tak ada siapa yang betul-betul bersedia untuk anak pertama,” ujarnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Di Matamu itu turut berkongsi dia telah menghadiri kelas antenatal sebagai persediaan, selain mendapatkan pelbagai tip keibubapaan di media sosial.
Pasangan tersebut bagaimanapun memilih untuk merahsiakan jantina bayi mereka, namun sudah mempunyai beberapa cadangan nama untuk cahaya mata sulung.
Untuk rekod, Sufian mendirikan rumah tangga bersama Rania pada 2 Mei tahun lalu.

