KUALA LUMPUR ā Pemergian Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah memberi sinar baharu kepada beberapa pesakit apabila beliau menjadi penderma organ keempat bagi tahun 2026 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menurut sahabat arwah, Ahmad Nazrul berkata, Allahyarham disahkan mengalami mati otak selepas serangan jantung sebelum proses pendermaan organ dijalankan dengan keizinan penuh keluarga.
Katanya, sebagai penghormatan terakhir, satu āwalk of honorā diadakan melibatkan petugas kesihatan dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ke dewan bedah sebelum pembedahan dijalankan.
Tambahnya, proses pengambilan organ bermula pada waktu pagi dan selesai sekitar jam 1 tengah hari, melibatkan beberapa organ utama termasuk hati, dua buah pinggang, tulang dan kulit.
āHati telah dihantar ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur untuk seorang kanak-kanak, manakala satu buah pinggang ke Hospital Selayang dan satu lagi ke Universiti Malaya untuk pesakit dialisis akibat diabetes.
āPembedahan pengambilan tulang dan kulit turut dijalankan bagi kegunaan prosedur ābone graftā dan āskin graftā untuk pesakit yang memerlukan,ā katanya.
Menurutnya, selepas proses pendermaan organ selesai, penggantian sementara dilakukan bagi mengekalkan keadaan fizikal jenazah.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peroh, Ajil kira-kira pukul 9.30 malam pada Sabtu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU).
Pemergian beliau bukan sahaja dirasai sebagai kehilangan besar, malah menjadi lambang pengorbanan terakhir yang memberi harapan hidup kepada insan lain. -MYBERITA

