KUALA LUMPUR – Pemburuan selama lima hari terhadap seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes jenayah seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Seksyen 32 Shah Alam akhirnya berakhir apabila suspek berjaya ditahan pada Sabtu lalu.
Suspek berusia lingkungan 40-an itu diberkas dalam satu operasi di sebuah bilik sewa di Kuala Lumpur hasil risikan dan gerakan bersepadu pihak polis sejak kejadian itu terbongkar minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke ibu negara dengan menaiki pengangkutan awam sebelum menyewa bilik baharu bagi mengelak dikesan selepas kejadian berlaku di daerah ini.
Menurut beliau, semakan turut mendapati suspek bekerja sebagai pemungut hutang dan baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada April tahun lalu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan status pekerjaan serta latar belakang sebenar lelaki berkenaan.
Tambahnya, setakat ini tiada laporan baharu diterima membabitkan mangsa lain, namun polis tidak menolak kemungkinan suspek pernah terlibat dalam kes lain berdasarkan rekod jenayah lampau termasuk kesalahan serius yang pernah disabitkan sebelum ini.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan jenayah seksual dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut. Polis dalam masa sama meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

