KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan kelancaran perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya akan menempatkan kekuatan anggota mencukupi di kedua-dua negeri bagi menjamin proses pilihan raya berjalan dengan lancar, selamat dan terkawal.
“Di Negeri Johor, saya difahamkan memerlukan bantuan tenaga kerja daripada PDRM lebih kurang 4,000 ke 5,000 orang.
“Ini kerana Johor begitu besar dengan jumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Jadi kita akan menjaga semua tempat-tempat undian dan saluran-saluran yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar Sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Negeri Sembilan yang turut akan melangsungkan PRN juga memerlukan kerjasama serta penugasan anggota polis di seluruh negara, bergantung kepada keperluan semasa.
Katanya, PDRM akan menggerakkan kekuatan anggota berdasarkan permintaan Ketua Polis Negeri bagi memastikan semua proses pilihan raya dapat berjalan tanpa sebarang gangguan.
Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, diikuti hari undi awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari undi awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.
PRN Dewan Negeri Johor ke-16 dianggarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRN Dewan Negeri Negeri Sembilan ke-16 dianggarkan menelan kos sekitar RM80.6 juta.

