KUALA LUMPUR – Isu pelancong Malaysia yang didakwa memperlekehkan penduduk tempatan di China bukan lagi sekadar perdebatan di media sosial, sebaliknya telah menjadi perhatian masyarakat antarabangsa apabila rakaman dan gambar berkaitan insiden itu tersebar luas sehingga mencetuskan kecaman rentas negara.
Kontroversi tersebut tercetus selepas beberapa rakaman yang dikaitkan dengan sekumpulan pelancong Malaysia tular di platform media sosial. Mereka didakwa merakam individu awam di tempat-tempat seperti bas, kereta api dan teksi sebelum mengeluarkan komen yang dianggap menghina terhadap penduduk tempatan.
Antara dakwaan yang menjadi perhatian ialah kenyataan mengenai bau badan orang ramai yang sedang menunggu bas, selain tindakan beberapa individu yang dilihat menutup hidung, mengipas udara dan ketawa ketika merakam orang awam tanpa kebenaran.
Turut tersebar ialah hantaran yang mempersoalkan sikap penumpang kereta api yang dikatakan terlalu bising sehingga mengganggu tidur, manakala satu lagi dakwaan membabitkan seorang pemandu teksi yang ditanya sama ada beliau tidak mandi sebelum bekerja.
Walaupun kandungan asal dipercayai telah dipadamkan daripada TikTok, rakaman dan tangkap layar berkaitan insiden itu terus dikongsi secara meluas di pelbagai platform media sosial termasuk di China, sekali gus mengundang kritikan daripada ribuan pengguna internet.
Perkembangan itu dilihat sensitif memandangkan Malaysia dan China ketika ini menikmati peningkatan ketara dalam sektor pelancongan hasil dasar pengecualian visa yang diperkenalkan kedua-dua negara.
Susulan kecaman yang diterima, pemilik akaun TikTok yang dikaitkan dengan insiden berkenaan dilaporkan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dengan mendakwa tindakan undang-undang telah diambil terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu serta kenyataan berunsur fitnah mengenai dirinya.
Menurut kenyataan tersebut, perkara berkenaan telah dirujuk kepada pihak berkuasa dan peguamnya. Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghentikan spekulasi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum disahkan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak banyak meredakan kemarahan netizen yang melihat isu tersebut sebagai lebih daripada sekadar komen mengenai bau badan atau tingkah laku masyarakat tempatan.
Pemerhati berpendapat insiden berkenaan membuka semula perbincangan mengenai etika pelancongan dan tanggungjawab pengguna media sosial, terutama apabila rakaman individu tidak dikenali dijadikan bahan hiburan dan berpotensi menjejaskan imej sesebuah negara di peringkat antarabangsa.


